Tentera Darat, KKM santuni penduduk Orang Asli Sungai Mahang
Air Times News Network Air Times News Network
137K subscribers
410 views
16

 Published On Sep 28, 2024

NILAI, 28 Sept – Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (MK PMBTD) menganjurkan Program Jiwa Murni (PJM) dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan dan pergigian di Kampung Orang Asli Sungai Mahang, Nilai, hari ini.

Ketua Pengarah Tadbir dan Logistik MK PMBTD, Brigedier Jeneral Ts Roslan Mat Saad berkata, program yang melibatkan 9 pegawai dan 35 anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) adalah hasil kerjasama KKD bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Negeri Sembilan.

Menurutnya, program ini dilaksanakan untuk mengukuhkan kerjasama awam dan tentera selaras dengan Pelan Strategik Tentera Darat serta memberi pemahaman lebih mendalam berkenaan penjagaan kesihatan.

“Antara aktiviti yang dilaksanakan hari ini adalah seperti pemeriksaan kesihatan, rawatan pergigian secara percuma dan penyampaian sumbangan untuk 8 buah keluarga muslim yang terdapat di Kampung Orang Asli ini,

“Program ini merupakan beberapa aktiviti yang dijalankan sempena setahun pemerintahan Panglima Medan Barat ke-24 yang mana kita memilih kampung orang asli ini sebagai PJM yang julung kali diadakan bertujuan dapat meningkatkan lagi kesedaran kesihatan penduduk kampung,” jelasnya kepada Air Times.

Sementara itu, Mejar Dr Puvenavikneswaran dari Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP) berkata, pasukannya telah melaksanakan saringan kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis kepada penduduk yang datang.

Menurut Dr Puven, terdapat juga pesakit yang mempunyai masalah kesihatan yang serius dan memerlukan rawatan di hospital berdekatan.

“Semasa membuat saringan, salah seorang Dr Perubatan, Kapten Dr Fatin telah memeriksa seorang wanita berusia 60 tahun, yang mempunyai penyakit asma,

“Jadi, setelah buat pemeriksaan, kita dapati warga emas berkenaan perlu mendapat rawatan lanjut di klinik kesihatan terdekat. Kami telah membantu menghantar warga emas tersebut ke hospital terdekat,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, untuk komuniti yang kecil ini, sambutan agak menggalakkan kerana ada diantara penduduk yang datang seawal jam 8.30 pagi untuk menerima rawatan.

“Secara keseluruhan komuniti ini sangat-sangat memerlukan rawatan dan perhatian dari doktor perubatan, jadi bila pasukan kami datang, mereka sangat mengalu-alukan.

“Kerjasama dari mereka juga sangat bagus, jadi kami rasa gembira dan sedia untuk merawat mereka,” jelasnya lagi.

Terdahulu, dianggarkan seramai 200 penduduk Kampung Orang Asli Sungai Mahang telah mendapat rawatan kesihatan dan pergigian yang bermula sejak pagi tadi.

Ts Roslan diiringi pegawai perubatan turut mengadakan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk yang lumpuh iaitu Ajus Simat kerana menghidapi strok selama 5 tahun.

Beliau turut berkesempatan menyampaikan sumbangan hamper serta poster panduan solat kepada penduduk yang beragama Islam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Brigedier Jeneral (Dr) Zulfikar Abdul Rahim; Ketua Pengarah Pergigian MK PMBTD, Brigedier Jeneral (Dr) Normah Samsuri; Pengarah Agama MK PMBTD, Kolonel Hasbullah Salleh serta agensi-agensi kesihatan awam.-airtimes.my

#TDM #PMBTD #KKM #KKD #orangasli #kesihatan #airtimes #sungaimahang #nilai #seremban

show more

Share/Embed